Perdana Menteri berkata, langkah itu sekali gus dapat membantu merealisasikan Lima Lonjakan Transformasi Pekerja bagi melahirkan pekerja yang kreatif dan inovatif demi membawa Malaysia ‘memasuki gelanggang’ ekonomi maju berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, kerajaan akan menganjurkan pameran kerja Job Fair @ UTC 2.0 dan akan dilancarkan secara besar-besaran pada 20 Mei ini di 11 buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan empat Pusat Jobs Malaysia seluruh negara yang akan menawarkan kira-kira 20,000 kekosongan jawatan melibatkan 300 majikan.

“Seboleh-bolehnya, berilah peluang kepada pekerja warga Malaysia terlebih dahulu. Jangan mencari jalan mudah, hendak beri pekerjaan kepada pekerja asing sahaja. Berilah keutamaan kepada pekerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja kepada 5,000 warga kerja yang hadir pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Perdana Menteri pada majlis itu turut melancarkan Program Pemerkasaan Bakat OKU atau OKU Talent Enhancement Programme (OTEP) bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran orang kurang upaya (OKU).

Mengulas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah menggariskan lima Lonjakan Transformasi Pekerja iaitu:

- Mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pekerja serta golongan mudah terjejas

- Mengoptimumkan modal insan, memperkukuhkan perancangan dasar dan sistem gaji.

- Mengupayakan Pendidikan Tek­nikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diterajui industri.

- Memperkasakan agensi penyedia perkhidmatan pekerjaan awam.

Menurut Najib, bagi lonjakan melibatkan usaha memperkasakan agensi penyedia perkhidmatan pekerjaan awam, kerajaan sedang mengkaji semula peranan Jobs Malaysia Centre.

“Langkah ini bagi memastikan pusat tersebut lebih interaktif, efektif dan mesra pelanggan serta dapat berperanan aktif sebagai pemudah cara dalam menjalankan padanan pekerjaan antara pencari kerja dan majikan,” katanya.