Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbezaan pendapat dalam politik dan pentadbiran negara pasti ada namun apabila menyentuh soal agama, sebarang pergeseran perlu diketepikan terlebih dahulu.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan jadikan perbezaan itu jalan untuk berpecah belah dan meleburkan prinsip yang ada dalam Islam, khususnya melibatkan ukhwah dan silaturahim. Dengan kata lain, hal melibatkan kepenting­an umat Islam kita wajib bersatu.

"Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama bergerak ke hadapan sambil memikirkan bagaimana mahu mencorakkan politik baharu yang meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya,” katanya dalam Forum Agenda Rakyat Kelantan Politik Takfiri Membawa Kemusnahan Ummah di sini semalam.

Selain Asyraf Wajdi, forum selama dua jam tersebut turut menampilkan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin; Naib Pengerusi PAN negeri, Che Ibrahim Mohamad serta Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, dari segi sejarah, politik Melayu Islam sentiasa ada pasang surut namun perkara itu tidak sepatutnya menjadi batu penghalang kepada usaha mencari titik persamaan.

“Jika kita asyik menyelongkar segala khazanah dan nostalgia lampau, kita akan terjumpa sesuatu yang akan terus menghalang usaha mencari titik persamaan itu, walaupun kita tak mahu memikirkan perkara buruk, kerana manusia berada dalam putaran, adakalanya di bawah dan adakala di atas.

"Tanggapan bahawa diri sentiasa betul dan orang lain salah sepatutnya ditangani kerana ini boleh mengundang perasaan taksub yang akhirnya menyebabkan ada pera­saan kononnya hanya kita yang memegang kunci-kunci syurga sedangkan itu hak Allah S.W.T,” tegas beliau.