Mohamad Arif berkata, penolakan usul tersebut adalah tertakluk di bawah Peraturan 18.

Malah, katanya, perkara ini juga tidak dianggap sebagai sesuatu yang perlu disegerakan dalam konteks semasa.

“Setelah dipertimbangkan sekeliling, maklum balas dari pihak tertentu, saya tidak menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang perlu disegerakan dalam konteks semasa.

“Walaupun saya membenarkan Ahli Parlimen Port Dickson memberi penjelasan supaya memahami kandungan usul itu, tetapi keputusan saya tetap kekal menolak usul tersebut di bawah Peraturan 18,” katanya.

Terdahulu, Anwar menjelaskan dalam sidang Dewan Rakyat bahawa usul yang dibawanya adalah bagi mengelakkan kekeliruan rakyat mengenai ICERD.

Malah, beliau mahu menegaskan bahawa kerajaan tidak perlu apologetik kerana menolak ratifikasi konvensyen itu.

“Kebijaksanaan kita membincangkan ICERD ini adalah untuk memahami sejarahnya kepada Afrika Selatan dan negara-negara Arab kerana mereka berada di bawah kerajaan kejam dan melaksanakan apartheid.

“Kita juga harus pandang positif negara-negara yang telah meratifikasi ICERD kerana pertimbangan mereka adalah kezaliman yang diterima mereka. Semangat ICERD kita tidak tolak tetapi selagi tidak ada penjelasan muktamad, ia mungkin menjejaskan muafakat kita,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bangkit dan menyokong usul yang dibawa Anwar.

“Saya menyokong usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Port Dickson. Kenapa kita tidak boleh bincang?

“Tetapi perhimpunan pada 8 haribulan ini jangan batal. Kita on,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE