Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, disiplin ilmu itu termasuk penguasaan Bahasa Arab, kefahaman maksud hadis atau ayat serta tafsiran tepat mengikut peredaran masa kini.

Menurutnya, tanpa disiplin serta ilmu mencukupi, perkara tersebut dibimbangi boleh membawa kepada penafsiran salah atau palsu selain berlaku penipuan dalam ilmu yang disampaikan.

"Dari segi penguatkuasaan, ia adalah tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri masing-masing untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya namun di peringkat Persekutuan, kita hanya boleh memberi nasihat," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucap tama pada Forum Zakat Dunia (WZF) di Banda Hilir, di sini hari ini.

Jelas Menteri Hal Ehwal Agama Islam itu, terma ustaz selebriti itu juga perlu dikaji sama ada perlu diiktiraf mengikut piawaian jika benar-benar menyampaikan amanah ilmu.

"Kalau dia merapu, tidak boleh (digelar ustaz) selebriti. Ia perlu diletak pada satu taraf (piawaian). Maksud selebriti dengan amanah ilmu, baru kita letak maksudnya sebagai ustaz selebriti.

"Selain itu, masyarakat juga perlu bertindak lebih bijak untuk menilai kerana itu yang terbaik. Jangan hanya obses mahu belajar tanpa mengetahui ustaz itu tanpa ada disiplin ilmu," ujarnya.

Sementara itu tambahnya, satu perjumpaan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama kumpulan ustaz selebriti di negara ini juga sepatutnya telah diadakan dua minggu lalu namun tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan masa.

"Bagaimanapun, ingin saya jelaskan, tidak semua ustaz selebriti begitu (sampaikan hadis palsu). Ada ramai yang betul-betul bercakap atas ilmu, ini yang kita kena perbanyakkan," katanya. - UTUSAN ONLINE