Mohd. Kazim Elias

Kazim mengakui, beliau terlalu banyak bekerja dan berfikir untuk memajukan pusat pendidikan berkenaan, justeru sedia menyerahkan pentadbirannya kepada guru-guru di sana sekiranya mereka sedia menggalas tanggungjawab tersebut.

“Sekiranya guru-guru di sini sanggup melakukan pengorban­an seperti yang saya lakukan, saya akan melepaskan tanggungjawab ini kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena pakej umrah bersama Ustaz Kazim anjuran Tri-D Travel & Tours Sdn. Bhd. di Pusat Pendidikan Al-Barakah hari ini.

Dalam pada itu, Kazim yang sebelum ini disahkan me­­ng­a­lami pendarahan usus perut akibat pengambilan ubat-ubatan secara berlebihan, turut meng­akui kesihatannya telah terjejas sejak tiga minggu lalu.

Namun katanya, beliau tetap menghadi­ri undangan ceramah seperti biasa biarpun tahap kesihatannya tidak mengizinkan.

“Alhamdulillah, selepas menjalani pemeriksaan dan rawatan di hospital, pendarahan usus perut saya sembuh sepenuhnya pada Rabu lalu. Keadaan kesihatan saya juga semakin stabil pada setiap hari.

“Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, saya belum bertemu isteri dan anak-anak selepas keluar dari hospital ekoran memenuhi undangan ceramah sejak Khamis lalu,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang lima hari berada di hospital, berat badannya susut daripada 67 kepada 64.5 kilogram, lebih-lebih lagi apabila sering muntah apabila hanya dibenarkan makan makanan lembut seperti sup, bubur dan buah-buahan.

“Doktor memberi cadangan kepada saya agar melancong dan melihat keindahan alam sekali gus dapat mengurangkan teka­­n­an kerja.

“Oleh itu, saya juga telah merancang beberapa lawatan pada tahun depan antaranya ke Indonesia, New Zealand, Australia dan Sepanyol. Diharapkan lawatan tersebut dapat memberi ketenangan kepada saya sebelum kembali bekerja,” kata Kazim yang turut berhasrat memperlahankan aktiviti ceramahnya.