Pengurus Besar PTPTN Nege­ri Kelantan, Mohd. Azrul Akmal Mamat berkata, dalam majlis ter­sebut juga pihaknya telah me­nyampaikan Sijil Sahabat Terbaik berdasarkan komisen tertinggi sehingga Mei 2018 kepada tiga penerima.

Beliau berkata, tiga penerima sijil itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Staf Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Selain itu, kita turut menyampaikan Sijil Sahabat Aktif Terkini berdasarkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada JPN dan UMK.

“Manakala untuk Sijil Penghargaan Geran Sepadan RM500 (GS500) bagi sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Terbaik Januari hingga Mei 2018 pula diberikan kepada PPD Kota Bharu dengan 1,225 akaun dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa dengan 167 akaun,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Meraikan Sahabat PTPTN di pekarangan Pejabat PTPTN negeri di sini, baru-baru ini.

Mohd. Azrul Akmal berkata, program sahabat PTPTN ini memberi banyak keistimewaan dan manfaat menerusi pelbagai insentif khas.

“Program ini akan membantu menjana pendapatan sampingan kepada sahabat PTPTN melalui komisen yang diterima,” katanya.

Dalam pada itu, penerima Sijil Sahabat Terbaik yang diwakili Timbalan Bendahari USM Kampus Kesihatan, Wan Mazlan Wan Abd. Rahman berkata, program tersebut sangat menarik kerana dapat membantu para pekerja untuk membuat perancangan kewangan.

Katanya, menerusi program ini, PTPTN juga akan memberi insentif kepada majikan untuk me­laksanakannya.

“Oleh itu, saya menyarankan agensi kerajaan dan swasta supaya menyertai program sahabat ini kerana ia sangat membantu dalam membuat perancangan kewangan bagi menyelesaikan pinjaman.

“Malah kami (USM) juga dari masa ke semasa akan bekerjasama dengan PTPTN untuk menganjurkan pameran, ceramah serta mewujudkan kiosk berkaitan bagi memudahkan pekerja kami untuk membuka akaun baharu dan membuat pembayaran semula,” katanya.

Bagi penerima GS500 yang diwakili Penolong PPD Pengurusan Sekolah PPD Kota Bharu, Nik Sazila Nik Abdullah, pihaknya berpendapat, program itu amat berguna dan sangat membantu mengga­lakkan murid-murid untuk menabung demi masa hadapan.

“Saya mendapat maklumat ber­kaitan insentif pemberian geran sepadan RM500 ini melalui promosi yang dipaparkan di akhbar, televisyen, risalah serta di laman sosial.

“Untuk itu, saya menggalakkan semua sekolah terutamanya sekolah di bawah PPD Kota Bharu supaya menabung di bawah program ini bagi mendapat insentif yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, penerima Sijil Sahabat Aktif Terkini berdasarkan APC yang diwakili, Ketua Unit Naik Pangkat JPN Kelantan, Mohd. Azhar Zahari berkata, keistimewaan program sahabat ini adalah setiap penerima akan mendapat insentif sebanyak RM2 untuk setiap orang.

“Saranan saya kepada agensi yang masih belum menyertai program sahabat ini agar segera menyertainya kerana ia memberi banyak manfaat dari masa ke semasa.

“Ia memberi manfaat bukan sahaja kepada pihak PTPTN malah kepada agensi kerajaan yang terlibat khasnya kepada mereka yang menerima APC,” katanya.