Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Profesor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan perkara itu sama ada daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Oman mahu pun pejabat Kedutaan Oman di sini.

“Perkara ini hanya diketahui oleh pihak universiti melalui penyiaran berita oleh Times of Oman.com sahaja. Melalui semakan yang dibuat di peringkat dalaman, pada masa kini kita tidak mempunyai maklumat yang sahih dan lanjut mengenai larangan yang dilaporkan dan isu yang bersangkutan secara langsung dengan USIM.

“Sebagai sebuah universiti awam, kita sentiasa membuka pintu kepada pelajar antarabangsa termasuk dari Oman untuk melanjutkan pengajian di universiti ini kerana terdapat 126 pelajar Oman berstatus aktif yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang di universiti ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Times of Oman.com melaporkan, kerajaan Oman melarang rakyatnya daripada melanjutkan pengajian di empat universiti di negara ini termasuk USIM berikutan aduan yang diterima daripada pelajarnya berhubung pelbagai isu.

Antaranya termasuk isu pentadbiran, pengurusan akademik, pematuhan syarat biasiswa serta kebenaran menyambung pengajian menggunakan visa pelancong di negara ini.

Dalam pada itu, Zulkiple berkata, segala isu berkaitan pelajar antarabangsa sentiasa diberi perhatian oleh pihaknya kerana mereka adalah pemegang kepentingan USIM.

“Ini termasuklah soal kebajikan, kewangan dan akademik. Justeru, satu pertemuan segera akan diatur oleh pihak USIM bersama Kedutaan Oman untuk memperhalusi isu-isu berbangkit antara kedua-dua belah pihak.

“Pihak universiti mempunyai hubungan baik dengan Kedutaan Oman selama ini dan berhasrat untuk terus mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin ini. Kita sentiasa bersedia membuat penambahbaikan kepada kekurangan yang ada tanpa berkompromi mengenai kualiti pendidikan tinggi yang USIM tawarkan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE