Pendebat bahasa Arab USIM dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Adam Fikry Bakru Razi, Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha. Muhammad Muzakkir dan Adam merupakan pelajar jurusan Undang-Undang dan Syariah manakala, Hamidah dan Suwaibah mengambil jurusan bahasa Arab.

Bertanding dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab, pendebat USIM beraksi cemerlang di peringkat saringan apabila menewaskan pasukan debat dari University of Utah, (Amerika); University of Kerala (India); University New York (Amerika); Islamic University of Maldives (Maldives) dan European Institute of Human Science (German).

(DARI KIRI) Suwaibah, Adam, Ahmad Norsyafwan (jurulatih), Muhammad Muzakkir dan Siti Hamidah memegan

(DARI KIRI) Suwaibah, Adam, Ahmad Norsyafwan (jurulatih), Muhammad Muzakkir dan Siti Hamidah memegang bendera USIM di Doha, Qatar hari ini. - UTUSAN ONLINE

Ketua Pasukan, Muhammad Muzakir berkata, pasukan USIM mengesahkan kemaraan ke pentas akhir apabila menewaskan pendebat dari Meridian Atuluku University, Turkey diperingkat separuh akhir sebelum cemerlang di pentas akhir apabila mengalahkan pendebat dari University Calgary, Canada untuk muncul johan.

“Keayaan ini dapat menebus kekecewaan USIM apabila hanya merangkul naib johan dalam kejohanan ini pada 2017. Kami berjaya mengekalkan momentum persembahan dan fokus terbaik pada setiap perlawanan dari peringkat awal sehingga akhir.

“Tekanan itu memang ada tetapi kami dapat mengawalnya hasil latihan intensif individu dan berkumpulan, melalui pembacaan, perlawanan debat persahabatan dan pengalaman menyertai pertandingan debat sebelum ini.

“Ini kejayaan manis bagi kami dan jurulatih, Ahmad Norsyafwan Norwavi dan jutaan terima kasih kepada Pengurusan Universiti, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan rakan-rakan Kelab Debat USIM atas doa dan sokongan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pendebat USIM menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan daripada penganjur program iaitu Qatar Debate.

Turut mencipta kejayaan berganda buat pasukan dari Malaysia adalah apabila dua pendebat USIM iaitu Muhammad Muzakkir dan Suwaibah masing-masing tersenarai dalam kedudukan pendebat keseluruhan pertama dan kedua terabik.

IUADC yang diadakan secara dwitahunan itu telah memasuki edisi kelima sejak mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan yang bermula sejak 15 Mac lalu berakhir pada hari ini dengan lebih 100 pasukan debat datang dari seluruh dunia menyertai IUADC yang berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha. – UTUSAN ONLINE