Para pendebat USIM yang dibarisi oleh Muhammad Syamim Md. Morshid, 20, Nur Ain Hannani Hamid, 21, Sharifah Thahirah Syed Mustafa 22, dan Adam Fikry Bakru Rozi, 23, mempamerkan aksi debat cemerlang sebagai kerajaan ketika bertemu mahasiswa dari Universitas Islam Negeri (UIN) selaku pembangkang.

Selaku naib juara, USIM membawa pulang hadiah berupa wang tunai 3 juta Rupiah (RM 8572.00), piala kejohanan dan sijil.

Lebih manis lagi, Nur Ain Hannani dan Sharifah Thahirah diiktiraf dalam senarai 10 pendebat terbaik keseluruhan dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai 200,000.00 Rupiah (RM 571.00)

Menurut USIM dalam satu kenyataannya kepada Utusan Online, pasukan debatnya menunjukkan taring sejak diperingkat saringan lagi apabila memenangi semua lima sidang perdebatan yang berlangsung semalam.

Walaupun penyertaan itu merupakan kali pertama, kehebatan pendebat USIM menguasai bahasa Arab dan kematangan membahaskan setiap usul mendapat pujian daripada juri.

Antara institusi pengajian tinggi Indonesia yang menyertai kejohanan itu adalah Universitas Muhammadiyah Surakata, Universitas Al-Azhar Indonesia, UIN Syarif Hidayatullah, UIN Maulana Malik Ibrahim, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta dan Institut Dirosat Islamiyah Al-Amein. 

Sementara itu, USIM turut menghantar pasukan debat bahasa Arabnya di Kejohanan Debat Bahasa Arab Universiti Qatar di Doha yang akan berakhir pada 7 Mac nanti. - UTUSAN ONLINE