Menurut Pengarah Mara negeri, Lukman Hakim Hasan, program yang dilancarkan agensi itu pada bulan lalu, memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi tujuan tersebut.

Katanya, menerusi program itu, Mara menyasarkan seramai 5,000 usahawanita di seluruh negara bakal menerima manfaatnya.

“Menerusi Wise, usahawanita bukan sahaja mendapat latihan dan bimbingan daripada usahawan yang sudah berjaya tetapi juga membina jaringan perniagaan sesama sendiri.

“Mara juga akan memperkenalkan bentuk-bentuk bantuan modal bagi kegunaan usahawanita untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Wise yang dianjurkan bersama Mara negeri ini dan Kedah di sebuah hotel di sini, hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan program itu.

Lukman Hakim memberitahu, sejak tiga tahun lalu, usahawanita di negeri ini telah menunjukkan peningkatan daripada segi bilangan dan pencapaiannya.

Katanya, ini termasuk produk Pau Halim dan Perabot Husmat yang terkenal di negeri ini. - UTUSAN ONLINE