Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan mengambil langkah itu kerana AIM terbukti berjaya membantu usahawan melalui pinjaman kecil yang ditawarkan.

"Sebanyak 98 peratus peminjam membayar balik pinjaman, ia berjaya bukannya gagal. Tidak ada masalah untuk mendapatkan semula pinjaman.

"Saya hairan apa rasional kerajaan mahu membatalkan AIM. Saya menghubungi beberapa usahawan wanita dan mereka kecewa dengan cadangan ini. Melalui AIM mereka berjaya berniaga kecil-kecilan di kampung dan membantu satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Mari Berselawat Sempena Sambutan Maulidur Rasul anjuran Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri, Latteffah Aliyaru Kunju.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang menyediakan dokumen untuk memulakan prosedur membatalkan sijil AIM. - UTUSAN ONLINE