Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, ia disebabkan permintaan bagi buah-buahan seperti durian, sarang burung walet dan hasil laut agak tinggi terutama dari China sekaligus memerlukan hasil tani itu mematuhi piawaian terbaik.

"Statistik pihak saya mendapati penyertaan bagi kedua-dua pensijilan itu hanya membabitkan peratusan kecil.

"Sejak diperkenalkan pada 2002, sebanyak 3,244 ladang tanaman padi, sayur dan buah sudah dipersijilkan myGAP manakala 119 memperoleh sijil myOrganic," katanya selepas Majlis Perasmian

Promosi dan Jualan Hasil Tani myGAP dan myOrganic, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sallehhuddin, pihaknya mendapati hanya 2.3 peratus daripada keluasan 1.1 juta hektar tanah yang diusahakan usahawan tani tempatan memiliki sijil tersebut setakat ini diikuti hanya 17 peratus daripada 1,500 hektar bagi ladang ternakan akuakultur.

Jelasnya, jumlah itu amat kecil dan perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan jenama hasil tani keluaran Malaysia segar, berkualiti serta selamat dimakan.

"Kita juga mahu produk kita dipasarkan lebih meluas ke luar negara terutama China," katanya.

Beliau menambah, status permohonan pensijilan itu dibuat secara sukarela dan tiada akta berkaitan yang menguatkuasakan atau mewajibkannya setakat ini. - UTUSAN ONLINE