Majlis yang ditaja oleh usahawan muda, Datuk Muhammad Farhan Lokman itu dihadiri oleh kira-kira 250 kakitangan Kumpulan Utusan yang dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah berbuka puasa seperti nasi kerabu, daging masak lemak cili api, martabak serta kuih-muih aneka jenis.

Farhan ketika menyampaikan ucapan berkata, beliau berbesar hati menaja majlis tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap petugas akhbar Utusan Malaysia.

“Saya ingin memenuhi impian ibu saya yang sebelum Ramadan ini pernah berkata, beliau ingin merasai suasana berbuka puasa beramai-ramai seperti sekarang ini.

“Saya berharap semoga majlis ini dapat menyuburkan ikatan ukhwah dan persaudaraan sesama kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, ibu kepada Muhammad Farhan yang juga bekas wartawan The Star, Fauziah Mohd. Johar atau lebih dikenali sebagai Zieman; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengurus Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Ainol Amriz Ismail. - UTUSAN ONLINE