Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kerajaan kini mensasarkan IKS menyumbang sebanyak 42 peratus kepada KDNK menjelang 2023 berbanding 37 peratus sekarang.

“Melalui latihan yang efisien, usahawan IKS mampu berkembang dengan pantas sekali gus menyumbang kepada unjuran ekonomi yang memberangsangkan.

"Latihan yang mampan juga boleh membantu golongan itu berinovasi dalam perniagaan dan mencatat pertumbuhan tinggi dalam pelbagai sektor perniagaan yang diceburi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis graduasi Insken Business Coaching (IBC) dan Business Enhancement Programme (BEP) kelolaan Institut Keusahawanan Negara (Insken), di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pusat kecemerlangan pembangunan keusahawanan seperti Insken perlu lebih bersasar dalam merangka program latihan yang ditawarkan memandangkan program dijalankan dalam tempoh singkat.

“Sebagai contoh, program IBC dilaksanakan dalam tempoh empat bulan sahaja, maka kita mahu pengisiannya lebih komprehensif supaya usahawan yang terlibat dapat mengaplikasikan pengetahuan dengan segera.

“Usahawan juga perlu lebih serius dalam membangunkan perniagaan dengan mengembangkan perkhidmatan

sedia ada selain sentiasa berusaha menambahkan ilmu perniagaan yang diceburi,” katanya.

Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 294 peserta antaranya pengusaha penjagaan kecantikan, inap desa dan kedai kek menerima sijil masing-masing selepas menamatkan latihan selama empat bulan. - UTUSAN ONLINE