Rombongan diketuai Pengarah Urusan Bionerve Indonesia Berjaya, Rifrizal Mohamad Arifin itu bertujuan menjalinkan kerjasama dengan Intan Biotech serta sebuah lagi syarikat pengeksport terkenal, NS Health Trading untuk pelancaran produk kosmetik terbaharunya iaitu Skaista Skincare.

Rifrizal berkata, Skaista Skincare dihasilkan di kilang Intan Biotech dan lawatan tersebut memberi peluang kepada para pengedar dan agennya melihat sendiri bagaimana proses penghasilan produk tersebut, selain sebagai penghargaan kepada mereka yang menjadi tulang belakang syarikat.

"Lawatan kira-kira sejam ini turut membolehkan mereka memahami lebih lanjut tentang produk berkenaan sekali gus meningkatkan lagi motivasi kepada mereka untuk lebih agresif memasarkan produk kami di Indonesia," katanya.

Rombongan berkenaan diberi penerangan oleh wakil Intan Biotech, Adilah Abdullah dan Pengarah Urusan NS Health Trading, Muhammad Nasyriq Nawawi.

Rifrizal dalam pada itu berkata, pihaknya memilih Intan Biotech sebagai pengeluar Skaista Skincare kerana yakin dengan kepakaran dan teknologi dimiliki kilang berkenaan yang turut mendapat pengiktirafan  Amalan Perkilangan Baik (GMP).

"Bionerve Indonesia Berjaya yakin jualan Skaista Skincare boleh mencecah jutaan ringgit dengan bantuan pengedar dan agen kami seramai lebih 9,000 orang di seluruh Indonesia dengan masing-masing memperoleh pendapatan mencecah RM1,500 sehingga RM5,000 seminggu. - UTUSAN ONLINE