Selain itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memberitahu cadangan untuk mengadakan koordinasi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi yang terlibat dalam pembangunan belia turut dipersetujui.


Tambah kenyataan itu, Saifuddin juga bersetuju agar kerjasama terutamanya dari segi jaringan serta sokongan teknikal dalam menjayakan program antarabangsa samada di dalam negeri atau di luar Malaysia dilaksanakan.


“Kementerian mengiktiraf CAYC sebagai badan induk belia ASEAN dalam menjalankan kerja atau program pembangunan belia di ASEAN, dan MBM sebagai badan induk belia yang mewakili belia Malaysia.


“Pertemuan itu juga mencadangkan agar CAYC diberi ruang dalam Sidang Kemuncak ASEAN bagi membawa isu dan suara mewakili belia ASEAN kepada ketua-ketua negara ASEAN serta membentangkan cadangan dan program-program di dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN (AMMY),” kata kenyataan itu di sini hari ini.


Delegasi bertemu Saifuddin itu diketuai oleh Setiausaha Agung CAYC, Mohd. Zaidi Aziz dan Presiden MBM, Jufitri Joha.


Kenyataan itu menambah, pertemuan itu mencapai persefahaman bahawa CAYC dan MBM akan bekerjasama rapat bersama kementerian terutama dalam menyebar luas tentang kesedaran ASEAN dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya kepada generasi muda.


“Perjumpaan itu juga mencapai persetujuan dalam membuat perancangan pengisian aktiviti yang boleh disertai di peringkat ASEAN dan program yang lebih fokus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030,” katanya. - UTUSAN ONLINE