Tegas Tun Dr. Mahathir Mohamad, pertikaian tersebut selalu berlaku kerana banyak pihak sering membuat dakwaan mengenai sempadan masing-masing.

“Tetapi, kita akan menyelesaikan mana-mana pertikaian mengikut peruntukan undang-undang dan hak kita.

“Apa yang penting adalah Singapura bersetuju untuk berunding, jadi kita tidak boleh memberi sebarang jawapan sehingga kita selesai membuat rundingan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia hari mencadangkan kepada Singapura supaya kedua-dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan Tuas yang dipertikaikan, berkuat kuasa hari ini sementara menunggu perbincangan mengenai isu sempadan laut yang belum selesai.

Katanya, cadangan itu adalah susulan perbalahan antara Malaysia dan Singapura mengenai Pengisytiharan Perubahan Had Pelabuhan bagi Johor Bahru yang diterbitkan pada 25 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, Jho Taek Low atau Jho Low menyedari dirinya bersalah sebab itu ahli perniagaan yang masih diburu pihak berkuasa berkenaan mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan adil di negara ini.

“Kita semua harus hadir di mahkamah, kita tidak boleh terus menafikan caj atau mendapatkan hakim lain untuk diri kita sendiri. Kita perlu menerima institusi kehakiman dan kerajaan tidak akan campur tangan,” katanya.

Selasa lalu, Jho Low dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat perhubungan awam di Sydney, Australia bagi pihaknya berkata, pentadbiran PH di bawah pimpinan Dr. Mahathir telah mengabaikan kedaulatan undang-undang dan salah tafsir Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE