Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an hari ini diberitahu, pandangan itu dinyatakan oleh bekas Ketua Bahagian Penasihat AGC, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid.

Bekas Penolong Ketua Audit Negara, P. Kanason (gambar), 78, memberitahu, beliau meminta nasihat perundangan daripada AGC untuk mendapat kepastian berhubung tindakan BNM memperdagang mata wang asing dalam jumlah yang melampau yang dikhuatiri bercanggah dengan undang-undang.

Beliau yang terlibat mengendalikan audit terhadap bank pusat itu berkata, perkara tersebut dibangkitkan secara bertulis kepada Ainum bertujuan meminta kepastian sama ada aktiviti urus niaga itu berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Seksyen 31(a) Akta Bank Negara Malaysia 1958.

Saksi ketujuh itu berkata, pa­sukan Jabatan Audit Negara kemudian mengadakan pertemuan dengan Ainum di AGC bagi membincangkan perkara tersebut dengan menyertakan dokumen transaksi urus niaga mata wang asing yang mencecah RM50 juta sehari.

“Saya meminta nasihat perundangan kerana aktiviti urus niaga mata wang asing yang dilakukan oleh BNM kebiasaannya tidak dilakukan oleh bank pusat di negara lain.

“Saya bukan seorang peguam, namun saya berpandangan bahawa urus niaga ini salah. Seseorang perlu menjawabnya. Saya sudah luahkan apa yang perlu saya cakap,’’ ujarnya pada prosi­ding siasatan di Istana Kehakiman di sini yang masuk hari keempat hari ini.

Pesara tersebut ber­-
kata, pada pertemuan itu, Ainum hanya menyuarakan pendapat secara lisan dan beliau menunggu maklum balas secara bertulis seperti yang dijanjikan.

Ujarnya, ketika di­hubungi semula, Ainum memberitahu ‘orang atasan cakap jangan campur tangan’ dan memberi jaminan untuk memberikan nasihat secara bertulis agar Gabenor BNM dan Ketua Audit Negara menyelesaikan perkara itu secara bersama.

Kanason memberitahu, pihak AGC kemudian menyerahkan sepucuk surat bertarikh 21 Februari 1990 yang turut dialamatkan kepada Gabenor BNM, Ketua Audit Negara dan Penasihat BNM ketika itu.

Kanason turut ditanya oleh peguam pemerhati bagi BNM, Datuk Tan Hock Chuan sama ada surat yang dihantar oleh AGC ada menyebut bahawa transaksi urus niaga mata wang asing itu tidak melanggar Seksyen 31(a) jika dapat dibuktikan bahawa aktiviti itu tidak hanya semata-mata bersandarkan kepada keuntungan tetapi bertujuan mengukuhkan nilai ringgit.

Saksi tersebut bagaimanapun menyatakan beliau tidak men­getahui perkara itu.

Beliau juga tidak mengetahui sama ada Ketua Audit Negara pernah mengambil langkah tertentu berhubung maklum balas yang diberikan oleh AGC.

Menjawab satu soalan lain, Kanason menyatakan, beliau tidak mengetahui sama ada BNM me­rupakan satu-satunya bank pusat yang menjalankan urus niaga mata wang asing bagi mengurus rizab luarnya.