Menurut pengarah drama, Michael Ang, aktres popular tersebut yang kini menjalani penggambaran drama bersiri Rahsia Hati Perempuan masih hadir ke set penggambaran.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Dia ada di sini meneruskan penggambaran malah tiada sebab untuk kami tangguhkan penggambaran ini.

“Jika diikutkan, penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan hanya akan selesai pada bulan depan dan Uqasha masih mempunyai banyak babak untuk dihabiskan,“ katanya.

Semalam, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 26, ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis erimin 5 selepas terlibat dalam kemala­ngan di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Dr. Ismail, dekat sini.

Difahamkan dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu, pelakon tersebut yang menaiki kende­raan Range Rover melanggar sebuah kereta Honda BRV milik seorang lelaki tempatan yang kemudiannya membuat laporan polis.

Bagaimanapun Uqasha dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan lengkap dilakukan terhadapnya.

Usaha untuk mendapatkan komen Uqasha bagaimanapun tidak berjaya memandangkan pelakon yang popular menerusi drama Hero Seorang Cinderella itu tidak menjawab panggilan telefon.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan Jabatan Kimia berkenaan dadah berkenaan sebelum tindakan susulan dibuat oleh pihak pendakwaan.