Jelas Uqasha, dia juga tidak menolak sudah merancang untuk bertunang dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Saya tidak pernah mengaku secara terbuka mengenai hubungan saya dengan mana-mana lelaki sebelum ini walaupun saya memang bercinta. Kali ini saya mengaku memang bercinta dan bahagia dengan Hefny dan kami serius dalam hubungan ini.

"Soal tarikh pertunangan itu saya tidak boleh beritahu bila, sebab masih dalam perancangan. Tetapi kalau sudah ada tarikh saya akan umumkan," katanya ketika ditemui Utusan Online pada majlis Anugerah Skrin 2017, di sini malam ini.

Menolak khabar angin yang mengatakan dia kembali bercinta dengan Pekin Ibrahim, kata pelakon kacukan ini, dia sudah lama melupakan kisah cinta dahulunya itu.

"Saya tidak tahu bagaimana kisah ini timbul, memang kami berlakon bersama tetapi saya sudah move on," jelasnya sambil ditemani Hefny.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu turut mengakui, berat badannya bertambah 13 kilogram kerana sedang bahagia dengan Hefny.

"Hefny suka saya begini, jadi saya selesa dengan bentuk badan saya," katanya.

Sementara itu Hefny turut bersetuju dengan kekasihnya itu. Jelasnya, selepas sekian lama berkawan dia memang mempunyai rancangan untuk meneruskan hubungan ini ke fasa berbeza.

"Insya-Allah, doakan yang terbaik buat kami," katanya. - UTUSAN ONLINE