Dengan slogan ‘Meneguhkan Jati Diri dan Patriotisme’, program tersebut adalah untuk mengga­lakkan generasi muda membaca akhbar Utusan Malaysia dalam platform digital iaitu akhbar digital dan Utusan Online.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Fahmi Azar Mistar berkata, usaha tersebut dapat membantu para pelajar menerima berita yang benar dan tepat selain menggalakkan mereka membaca di mana sahaja berada dengan menggunakan gajet peribadi seperti telefon pintar.

Malah katanya, ruangan khas yang disediakan tersebut memberi peluang kepada wakil pelajar untuk menulis dan menyumbang idea.

“UPM akan meneruskan tiga inisiatif ini dan berharap 1,000 akaun akhbar digital yang disumbangkan oleh Kumpulan Utusan dapat memberi manfaat kepada mahasiswa UPM,” katanya ketika berucap dalam maj­lis penyerahan akaun akhbar digital tersebut.

Penyerahan dilakukan oleh Pe­nolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.

Hadir sama Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Utusan, Jamal Ahmed dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Aida Fitri Peli.

Sementara itu, Aida Fitri berkata, program Malaysia Kita yang dikendalikan oleh Kumpulan Utusan memberi peluang kepada pelajar UPM untuk menyuarakan pendapat mereka menerusi akhbar dalam talian dan cetakan Utusan Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Utusan kerana membolehkan mahasiswa di UPM mengakses akhbar digital ini untuk menambah wawasan dan pengetahuan.

“Program ini juga menyediakan platform kepada UPM untuk berkongsi aktiviti dan disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia,” katanya.

Menerusi program Malaysia Kita, sebanyak 21,000 akaun akhbar digital Utusan Malaysia akan diagihkan kepada pelajar di 21 universiti awam dan swasta, 34 politeknik serta 92 kolej komuniti di seluruh negara.