Sama ada ia benar atau tidak, khabarnya elaun yang mence­cah sehingga RM30,000 itu turut dipercayai menjadi punca masalah pembalakan melampau di Perak masih terus berleluasa, namun itulah yang menjadi bualan ramai pihak.

Malah satu sumber mendakwa, habuan itu diberikan kepada anggota terbabit bagi memudahkan operasi pembalakan dijalankan khususnya dalam mengenal pasti lokasi pokok bernilai tinggi.

“Ini adalah sebagai upah kepada pihak berkuasa terlibat yang lebih pasti dan arif berhubung lokasi berbanding pembalak.

“Mereka bukan sahaja akan meninjau kawasan berpotensi malah turut menandakan pokok yang sesuai untuk tujuan pembalakan.

“Penguat kuasa yang mene­rima upah tersebut turut akan mengesyorkan laluan pengambilan balak berhampiran kawasan pokok bernilai tinggi walaupun laluan diwartakan untuk pembalakan sah lebih dekat dan lurus,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Pada pertengahan Disember tahun lalu, Mingguan Malaysia menerusi laporan khas me­nyiarkan mengenai aktiviti penero­kaan hutan simpan kekal di Hulu Perak, Perak, yang diteroka secara haram akibat ketamakan pembalak yang menarah pokok mele­bihi daripada kawasan ditetapkan dalam lesen diperoleh.

Pembalakan melam­pau di kawasan ber­ke­naan bukan sahaja memusnahkan flora dan fauna malah meng­akibatkan pencemaran sungai berhampiran selain menjejaskan kawasan rayau masyarakat Orang Asli bagi mencari sumber hutan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, sumber menjelaskan, nama elaun tersebut sering bertukar dan ia difahami antara penguat kuasa yang biasa mene­rimanya.

“Biasanya elaun itu akan dinamakan mengikut haiwan atau serangga, kononnya sinonim dengan kepayahan penerima habuan berkenaan kerana terpaksa mengharungi hutan belantara yang dipenuhi binatang atau serangga berkenaan.

“Itu adalah upah komitmen kepada mereka memandangkan bukan semua pihak mempunyai kepakaran dan tahu selok-belok dalam hutan,” ujarnya.