Kesimpulan itu dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan 10 perenggan selepas mengamati pembenta­ngan pertama belanjawan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNO itu menyifatkan tiada garis panduan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan daripada belanjawan tersebut sedangkan perkara itulah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Amat menghampakan bagi Ahmad Zahid apabila belanjawan berkenaan hanya menyebut mengenai rancangan latihan dan bimbingan yang mengambil masa, sedangkan dakwa beliau, rakyat mahu penyelesaian segera.

“Tidak ada yang istimewa untuk rakyat, terutama bagi mengatasi isu kos sara hidup mereka. Banyak berkisar pada skim kesihatan dan dividen yang longgar.

“Secara umum, ia adalah bajet yang diubahsuai daripada kerajaan terdahulu. Asasnya sudah tersedia. Tetapi tidak ada yang menarik untuk rakyat secara keseluruhan,” kata beliau.

Ahmad Zahid dalam pada itu menzahirkan rasa kesal kerana kerajaan PH dengan sengaja menggunakan ucapan belanjawan untuk terus menghentam dan memberi gambaran buruk kepada Barisan Nasional (BN).

“Biarlah rakyat sendiri yang menilai belanjawan ini, sama ada hak dan keistimewaan mereka dipulangkan atau sebaliknya. Waktu akan menentukan,” jelas beliau.

Ahmad Zahid sewaktu ditemui di lobi Parlimen berkata, apa yang diumumkan dalam belanjawan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu disifatkan tidak ada kelainan yang besar berbanding belanjawan tahun lalu.