Baginda bertitah bahawa keberadaan sesebuah universiti kini tidak lagi sekadar untuk menjalankan fungsi pengajaran.

"Apa yang penting ialah melihat tenaga akademik mampu menggalas pelbagai peranan dengan menyumbangkan perkhidmatan mereka dalam masyarakat sebagai pakar runding.

"Janganlah sekali-kali hanya berada dalam zon selesa. Sempadan baharu harus diterokai dan segala usaha harus diperkemaskan supaya kekal relevan dalam konteks kehendak pemegang taruh dan masyarakat amnya," titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan Sidang Ketiga Bagi Istiadat Konvokesyen Ke-12, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) 2017 di Dewan Ilmu Kampus Alam Pauh Putra di sini hari ini.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman dan Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Pada kesempatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin yang juga merangkap Canselor Unimap turut menitahkan bahawa setiap graduan universiti itu perlu berusaha mendapatkan kelayakan profesional bertaraf dunia yang ketika ini masih kurang berbanding dengan keperluan industri.

Oleh itu para graduan perlu berusaha menambah ilmu terutama dalam menaik taraf kualiti akademik yang telah dimiliki kini seterusnya menghadapi persaingan dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar kini.

Seramai 603 graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam jurusan dalam Kejuruteraan Mekatronik, Mekanikal, Elektronik Bioperubatan, Komputer, Perhubungan, Rangksian Komputer, Alam Sekitar dan Awam menerima sijil daripada baginda dalam sesi tersebut.

Di akhir istiadat, baginda turut berkenan melancarkan kempen prihatin bagi mengutip tabung sumbangan kemanusiaan untuk mangsa pelarian Rohingnya peringkat Unimap bersama kepimpinan dan graduan universiti tersebut yang hadir. - UTUSAN ONLINE