Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, biasiswa itu ditawarkan oleh Yayasan Limkokwing melalui program Biasiswa Kecemerlangan Kreatif Limkokwing.

Beliau berkata, permohonan bagi mendapatkan biasiswa itu dibuat secara terbuka dan tidak terhad kepada pelajar yang mendapat semua A dalam pe­periksaan, namun pelajar yang aktif dan berkebolehan akan mendapat ke­lebihan.

RAJA AZNIL RAJA HISHAM
RAJA AZNIL RAJA HISHAM 

“Biasiswa ini tidak terhad kepada pelajar cemerlang semata-mata, tetapi jika mereka mempunyai kebolehan dalam bidang tertentu termasuk mewakili sekolah dalam program debat kebangsaan diga­lakkan untuk memohon.

“Pelajar yang mempunyai sifat kepimpinan dan aktif dalam aktiviti kurikulum juga akan dipertimbangkan. Kita di sini tidak melihat kepada jumlah A yang mereka dapat dalam sesuatu peperiksaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Raja Aznil, biasiswa tajaan penuh dan separa itu hanya termaktub untuk yuran pengajian sahaja dan tidak merangkumi bayaran penginapan, pengangkutan dan perbelanjaan pelajar terbabit.

“Yuran bagi pengajian untuk setiap pelajar yang berminat ialah kira-kira RM60,000 dan kos berkenaan mengikut program yang mereka minta. Ada program pengajian yang berharga RM30,000 dan RM40,000.

“Kita mahu lebih ramai pelajar Malaysia di universiti ini supaya mereka dapat menimba ilmu seterusnya bekerja dalam bidang yang mereka inginkan. Mereka juga dapat mengenali agama dan budaya pelajar antarabangsa di sini,” katanya.

Katanya, antara bidang yang disediakan Universiti Limkokwing ialah seni bina, reka bentu dalaman, kejuruteraan awam, reka bentuk permainan digital, perniagaan, perakaunan, kewartawanan dan penyiaran.

Dalam pada itu katanya, penubuhan Yayasan Limkokwing merupakan satu tanggungjawab sosial korporat universiti dalam membantu memartabatkan pendi­dikan rakyat Malaysia ke peringkat tertinggi.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai biasiswa berkenaan boleh melayari laman web rasmi Universiti Limkokwing di www.limkokwing.net atau hubungi talian 03-83178888.