Naib Presiden Jenama, Kreativiti dan Pembangunan Bakat Universiti Limkokwing, Datuk Tiffanee Marie Lim berkata, universiti itu menjadi satu-sa­tunya institusi pendidikan tinggi swasta di Asia yang bakal menyertai pertunjukan fesyen itu sempena Minggu Fesyen London 2018.

“Ini merupakan penyertaan kali kedua Universiti Limkokwing dalam pertan­dingan fesyen berprestij di London.

“Untuk tahun ini, para pereka fesyen kami akan menampilkan fesyen yang menerapkan elemen Asia dan tempatan bagi menonjolkan kepelbagaian budaya di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di kampus utamanya di sini, hari ini

Menurut Tiffanee, pihaknya akan menghantar sebanyak empat pereka yang terdiri daripada penuntut dan kakitangan bahagian fesyen universiti itu.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 48 rekaan fesyen akan diperagakan oleh model sempena minggu fesyen itu.

Tiffanee berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan bagi menyiapkan koleksi yang akan dipersembahkan dalam minggu fesyen itu.

“Peluang menyertai pertunjukan fesyen ini bukan sahaja untuk mempamerkan hasil karya mereka tetapi juga diharapkan menarik perhatian pereka terkemuka dalam bidang ini sekali gus dapat membuka peluang yang lebih luas kepada pereka muda kami,“ katanya.