Pada majlis tersebut, Universiti Limkokwing yang diwakili Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Datuk Raja Aznil Raja Hisham dan FMM diwakili Pengerusi cawangan Selangor, Jacob Lee.

Kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak memulakan kerjasama menerusi penyediaan sokongan latihan aktif dalam penjenamaan, reka bentuk dan pembungkusan.

Raja Aznil berkata, kerjasama tersebut secara tidak langsung menandakan permulaan usaha ke arah menangani jurang industri menerusi penggunaan media sosial dalam mengukuhkan jenama Malaysia untuk pasaran eksport.

"MoU itu juga akan membolehkan pelajar Limkokwing mendapatkan pendidikan berasaskan industri melalui program latihan dan ceramah atau seminar industri.

"Kami berharap akan ada lebih banyak program dengan pihak berkepentingan bagi memastikan perancangan yang telah diatur dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU bersama FMM Selangor, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden (Penjenamaan, Kreativiti dan Pembangunan Bakat) Universiti Limkokwing, Datuk Tiffanie Marie Lim dan Timbalan Presiden FMM, Datuk Goh Boon Kim.

Sementara itu, Pengerusi FMM Selangor, Jacob Lee, berharap kerjasama itu akan mewujudkan lebih banyak jenama tempatan di pasaran global.

"Kita perlu memastikan produk Malaysia kekal berdaya saing dari dalam dan luar negara.

"Justeru itu penjenamaan, reka bentuk, pembungkusan dan promosi dalam talian akan membantu mempromosikan produk Malaysia ke peringkat lebih tinggi," ujarnya. - UTUSAN ONLINE