Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini sekali gus membuktikan dasar pendidikan bukan bermula daripada kasut dan stoking hitam.

Katanya, semoga aliran itu akan berterusan dan dapat diberi perhatian di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Antara berita baik pagi ini ialah kesemua 19 universiti utama negara berjaya memperbaiki posisi mereka menurut Penarafan Universiti Dunia QS: Asia Edisi 2019 yang dikeluarkan oleh penganalisis pendidikan tinggi global QS Quacquarelli Symonds.

“Universiti Malaya (UM) juga berjaya memperoleh penarafan 20 universiti terbaik di Asia apabila naik ke tempat ke-19 dan berkongsi kedudukan dengan Universiti Jiao Tong dari Shanghai yang amat terkenal dan bersejarah di Asia. Jiao Tong ditubuhkan pada 1896 dan pernah mendapat gelaran ‘MIT of the East’. Saya amat bangga bahawa UM sekarang berada di tempat yang sama dan jika mengikut trend, tidak mustahil untuk UM mendahului kedudukan Jiao Tong,” katanya dalam akaun Facebook miliknya, hari ini. - UTUSAN ONLINE