Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Terengganu memang telah lama 
berhasrat untuk mewujudkan universiti seumpama itu dengan usaha untuk menaik taraf Kolej al-Quran Terengganu (KQT) yang beroperasi di Padang Midin dekat sini ketika ini.

Bagi tujuan tersebut, katanya, permohonan khas akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mempercepatkan proses menaik taraf menjadi sebuah universiti berkonsepkan wakaf kelak.

Beliau menjelaskan, selain memperkenal konsep wakaf sebagaimana Universiti Al-Azhar di Mesir, kewujudan Universiti al-Quran itu juga akan mengembalikan kegemilangan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dalam ilmu agama suatu ketika dahulu.

"Memang lama dah kita sebut dan rancang ke arah  Universiti al-Quran yang akan kita laksanakan mengikut konsep wakaf, jadi tak jadi masalah (untuk menubuhkan Universiti  al-Quran).

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) Ke-39 dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM, STAM  2017 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri,  Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; Pengarah YT, Ishamudin Hashim dan Pengarah Pendidikan negeri, Syafruddin Ali Hussin.

Katanya, Terengganu belum mendapat 'lampu hijau' daripada Kementerian Pendidikan Tinggi kerana memerlukan empat atau lima tahun untuk dinilai selepas mendapat taraf sebagai sebagai kolej universiti.

"Tetapi saya nak buat `special request' untuk buat `fast track' dengan syarat KQT mesti tunjukkan prestasi atau pencapaian terbaik dan kita sedang tunggu keputusan atau kejayaan yang akan dicipta," ujarnya.

Ahmad Razif berkata, pada masa ini, KQT beroperasi di kampus sementara di Padang Midin dan disebabkan semakin sesak, sebuah lagi kampus sementara akan diwujudkan di Rusila dengan menyewa premis Pusat Latihan Telekom di situ.

Menurutnya, kerajaan negeri telah membeli Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) di Kuala Berang, Hulu Terengganu melibatkan kos RM30 juta untuk dijadikan kampus tetap KQT kelak. - UTUSAN ONLINE