Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, unit baharu itu amat penting dalam menangani masalah tersebut bagi membolehkan tindakan tegas secara konsisten diambil terhadap mereka yang masih berdegil melakukan amalan khurafat di pulau ber­kenaan.

“Tindakan memang ada sebelum ini, tetapi apabila tiada satu unit penguatkuasaan yang me­netap di sana, perkara sama akan terus berulang. Kita perlukan satu unit yang memantau serta boleh mengambil tindakan sewajarnya secara terus.

“Dalam masa terdekat ini juga saya sendiri akan meninjau kawasan Pulau Besar dan mahu melihat tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka yang masih meneruskan amal­an khurafat di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan me­syuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini hari ini.

Baru-baru ini, Majlis Ban­daraya Melaka Bersejarah (MBMB) me­nyatakan mereka sentiasa bersikap tegas dalam memastikan tindakan pihak-pihak tertentu menjalankan ajaran khurafat di Pulau Besar dapat ditangani.

Menurut Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Hussin, struktur haram yang dibangunkan dengan tujuan menjadikan ia sebagai satu tempat aktiviti pemujaan bakal dirobohkan serta pengusahanya akan didenda.

Perkara tersebut ekoran Laporan Khas Sabtu yang mendedahkan masih terdapat pengunjung di Pulau Besar mengamalkan aktiviti khurafat meskipun papan tanda melarang perbuatan itu terpampang di depan mata mereka.

Selain melakukan amalan khurafat, didapati ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan meraih wang hasil mengetuai aktiviti tersebut ataupun mendoakan hajat yang diingini pengunjung.

Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan juga bakal mencadang­kan kepada kerajaan negeri supaya tanah di Pulau Besar diwartakan sebagai kawasan larangan bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab mengamalkan aktiviti khurafat di kawasan tersebut.