Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah kampus Gong Badak di sini, seramai 18 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, 59 graduan sarjana, sarjana muda (1,321) dan diploma (961).

Istiadat pembukaan majlis berkenaan disempurnakan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA.

Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmaf Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Yusof Md. Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.

Dalam majlis konvokesyen kali ini, UniSZA menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-undang kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam bidang tersebut.

Di samping itu, Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan dan Kepenimpinan pula dianugerahkan kepada Gabenor Sulawesi Selatan, Indonesia, Dr. H. Syahrul Yasin Limpo.

Anugerah Pelajaran Diraja dirangkul oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin), Mohamad Farid Abdul Talib, 24, dan Muhammad Fauzan Abdul Hamid, 25, (Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris, Nur Izzati Suhaimi menerima Anugerah Terbaik Fakulti Bahasa dan Komunikasi manakala bagi Fakulti Biosumber dan Industri Makanan diraih Nurul Hidayah Yaakob (Pingat Ibnu Al-Awwam).

Chang Yue Mei pula meraih Anugerah Malaysian Institute of Food Technology manakala Nur Afifa Hashim (Anugerah Alumni Teknologi Makanan) di samping Maizatul Aqmal Mazlan (Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan). - UTUSAN ONLINE