Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata ,ia selaras dengan hasrat kementerian mempergiat usaha universiti awam menjana pendapatan sendiri, selain menerima 80 peratus peruntukan dana daripada kerajaan.

"Beberapa langkah penjanaan IPTA terdiri daripada pelbagai sumber termasuk penggunaan aset maksimum, wakaf, jalinan alumni, geran pendidikan luar negara serta pengkomersilan produk dan idea," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) yang ingin tahu senarai kejayaan IPTA dalam menjana pendapatan sendiri dan IPTA paling berjaya.

Kain Ching berkata, antara kejayaan lain ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur yang membangunkan 500 unit penginapan dengan pinjaman bank sebanyak RM180 juta dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapat sumbangan Yayasan Bukhari untuk pembinaan auditorium RM40 juta.

Katanya, adalah menjadi usaha kementerian untuk menggalakkan pelajar dan pensyarah melibatkan diri dalam bidang keusahawanan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 untuk melahirkan graduan holistik, seimbang dan memiliki ciri-ciri usahawan.

Dari segi wakaf, beliau berkata, dana wakaf terkumpul pada tahun lepas diterajui Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan nilai sebanyak RM7.5 juta.

Kepada soalan tambahan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai inisiatif kementerian membantu inovasi universiti di peringkat antarabangsa, Kain Ching berkata, kementerian sentiasa berusaha memastikan hasil penyelidikan bukan sahaja digunakan di peringkat universiti tetapi juga dikomersilkan.

Memberi contoh tangan dan kaki bionik yang dihasilkan Universiti Malaya, beliau berkata, sebanyak 60 individu menerima manfaat daripada hasil ciptaan itu pada 2016. - BERNAMA