Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, menerusinya mahasiswa dapat memanfaatkan pelbagai peralatan, mesin dan bahan sofistikated secara lebih kreatif berbanding pembelajaran di dalam kelas sebelum ini.

Kata beliau, ia sekali gus menyuburkan ekosistem perkongsian ilmu, pembelajaran dan kolaborasi.

“Paling penting, Makerspace merupakan ruang melaksanakan pelbagai projek dan penyelesaian kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran SKMM-Unimap Makerspace yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Unimap di Kampus Unimap Ulu Pauh di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kanan, Bahagian Teknologi dan Masyarakat SKMM, Aisharuddin Nuruddin.

Tambah, Zul Azhar, inisiatif penubuhan Makerspace itu merupakan kerjasama antara Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Komputer Perhubungan dan pihak SKMM.

“Peralatan yang disediakan di SKMM-Unimap Makerspace mungkin sebelumnya hanya ditemukan di kilang, makmal berteknologi tinggi dengan akses terhad kepada kumpulan khusus.

“Namun kini, peralatan ‘makers’ seperti pencetak 3D printer, mesin laser, kamera dan stesen kerja multimedia boleh dimanfaatkan oleh warga kampus dan masyarakat setempat,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE