ZUL AZHAR ZAHID JAMAL
ZUL AZHAR ZAHID JAMAL 

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, inisiatif itu diperkenalkan bermula semester ini dengan membabitkan seramai 550 orang pelajar dengan mereka akan diberikan kupon makanan bernilai RM5 setiap seorang.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan para pelajar mendapatkan makanan mencukupi seterusnya memberi keselesaan mengulang kali pelajaran dan menduduki peperiksaan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, ada dalam kalangan para pelajar yang terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan asnaf sanggup berkorban dengan menggunakan wang pinjaman atau zakat yang diperolehi mereka untuk dikirimkan kepada keluarga di kampung sebagai perbelanjaan seharian.

“Kebiasaannya, musim peperiksaan adalah pada penghujung semester dan ketika itulah sebahagian besar pelajar ini sudah kekurangan wang.

“Justeru inisiatif yang diambil ini diharap dapat membantu para pelajar B40 dan asnaf ini untuk kekal bertenaga menghadapi peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai nasib sesetengah pelajar Universiti Malaya (UM) yang terpaksa mengikat perut dan hanya makan sekali sehari selain ada antara mereka perlu menahan lapar akibat kekangan kewangan.- UTUSAN ONLINE