Melalui usaha yang dimulakan sejak empat tahun lalu itu, Unimap memberi penekanan kepada beberapa aspek utama iaitu menghijaukan kawasan kampus, menjimatkan sumber tenaga, menggalakkan amalan kitar semula dan memupuk kesedaran umum mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Penyelaras Pasukan Bertindak Kampus Lestari Unimap, Dr. Siti Khadijah Za’aba berkata, program kampus lestari merupakan program jangka masa panjang yang diharap akan mencapai objektif­nya sekali gus menjadi contoh bagi program seumpama itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Usaha ini bukanlah satu tugas yang mudah dan boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat. Ia menuntut komitmen berpanjangan melalui pendidikan dan bimbingan khususnya untuk memupuk kesedaran warga kampus.

“Ternyata usaha ini telah membuahkan hasil dan menunjukkan perkembangan positif apabila berlaku perubahan sikap dalam kalangan pelajar dan warga kampus. Begitu juga dengan persekitaran kampus yang semakin menghijau,’’ katanya.

Siti Khadijah memberitahu, pada peringkat awal, inisiatif melestarikan Unimap di­terajui oleh Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Unimap, Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zin yang ketika itu berada di bawah tanggungjawab pejabat Penolong Naib Canselor Komunikasi Korporat sebelum dipindahkan untuk penyelarasan Majlis Professor Unimap sejak awal tahun ini.

Siti Khadijah berkata, perubahan paling ketara boleh dilihat pada perubahan sikap warga kampus yang semakin prihatin terhadap isu kebersihan dan sentiasa berjimat dalam penggunaan sumber seperti elektrik dan air.

“Perkara yang selama ini tidak begitu dihiraukan seperti amalan pengasingan sampah di tong sampah kitar semula juga mula diberi perhatian dan dipraktikkan dengan betul.

“Perubahan seperti ini amat penting kerana mampu memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar,’’ katanya.

Beliau berkata, dalam usaha memantapkan pengurusan kampus lestari di institusi pengajian tinggi itu, pihaknya menganjurkan pelbagai program dan akti­viti antaranya program menanam pokok di kawasan kampus.

“Program tanaman semula pokok bagi tujuan menambah kehijauan persekitaran kampus sehingga kini mencecah 2,000 batang sejak dilaksanakan.

“Sebagai komitmen dan rasa tanggungjawab terhadap kampus, warga Unimap turut diberikan amanah untuk memelihara dan menjaga pokok-pokok yang ditanam,’’ katanya.

Tambah beliau, selain usaha menghijaukan kampus, Unimap turut mengambil langkah mengharamkan penggunaan bekas makanan polisterina di kafe kampus sejak beberapa tahun yang lalu.

“Unimap juga beruntung kerana mendapat sokongan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor dalam menjayakan kampus lestari ini,” katanya.

Sebagai sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan ujar beliau, program kampus ‘hijau’ turut melibatkan aspek penyelidikan melalui pembinaan sebuah loji pemprosesan semula minyak masak terpakai dari kantin kampus.

“Projek pemprosesan semula minyak masak untuk menghasilkan baja kompos yang dilakukan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merupakan salah satu daripada projek komuniti untuk memupuk kesedaran masyarakat luar kampus tentang kepentingan kitar semula,” katanya.

Ujar beliau, antara pencapaian membanggakan Unimap setakat ini adalah kejayaan menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak RM80,000 setiap bulan melalui langkah penjimatan peralatan pendingin hawa.

“Selepas kejayaan penjimatan sumber tenaga itu, Unimap kini memasuki fasa seterusnya iaitu penjimatan melalui penggunaan mentol LED,’’ tambahnya.

Siti Khadijah berkata, kejayaan konsep kampus lestari itu diharap menjadi titik tolak untuk merealisasikan impian universiti di utara tanah air itu menjadi universiti peneraju dalam program kelestarian alam.