Timbalan Naib Canselornya, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan berkata, penangguhan itu diberikan sehingga keadaan dan emosi Muhammad Iqbal Shah Zakaria, pelajar tahun tiga Jurusan Kejuruteraan Rekabentuk Produk itu, stabil.

Beliau berkata, pihaknya ju­ga akan mengunjungi Muhammad Iqbal Shah di kampungnya di Perak esok, bagi mengetahui lebih lanjut ke­adaan pelajar itu di samping menghulurkan bantuan segera kepada adiknya yang sakit.

“Menerusi kunjungan ini nanti, kita harap dapat me­ngetahui lebih jelas situasi Muhammad Iqbal Shah dan adiknya berbanding hanya melalui telefon sebelum ini.

“Pada masa sama, tabung juga dilancarkan di peringkat universiti dan kampus bagi bersama-sama membantu meringankan penderitaan pelajar ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini kisah seorang pelajar Unimap yang terpaksa memohon penangguhan buat kali kedua pengajiannya ke­rana perlu menjaga adiknya yang mengalami kanser limfoma tahap empat.

Mohd. Fo’ad berkata, pihak universiti sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi pelajar dan berusaha untuk membantu sedaya mungkin.

“Sebelum ini, kita juga meluluskan penangguhan se­orang pelajar berasal dari Sa­rawak setelah keluarganya terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.