Pada masa yang sama, rekod QS World University Rangkings by Subject yang terkini pula menunjukkan Unimap berada pada kedudukan 350 universiti terbaik dunia dalam bidang Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Unimap menyatakan, selain itu program-program yang ditawarkan oleh universiti berkenaan mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Program-program yang ditawarkan oleh UniMAP mendapat kelulusan MQA, dengan lapan daripadanya sedang menunggu keputusan audit, manakala satu lagi program pula masih belum diaudit kerana baru berada di tahun dua penawaran.

“Kesemua 21 program kejuruteraan konvensional yang ditawarkan oleh Unimap sudah mendapat akreditasi daripada Lembaga Jurutera Malaysia sejak sekian lamanya,” jelas baginda.

Baginda menyatakan perkara itu pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Unimap dengan Al-Farabi Khazakh National Universiti di Dewan Senat universiti tersohor di Almaty, Kazakhastan di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Mohd. Fo’ad Sakdan menandatangani bagi pihak Unimap manakala Al-Farabi Khazakh National Universiti diwakili Rektornya, Prof. Galym Mutanov.

Yang turut hadir Timbalan-timbalan rektor universiti berkenaan iaitu iaitu Aizhan Smailova dan Tlekkabul Ramazanov.

Galym Mutanov dalam ucapannya menyatakan, universiti itu amat berminat menjalinkan kerjasama dengan Unimap bagi menerokai pelbagai potensi menang-menang, khususnya dalam bidang media baharu, kewangan Islam dan perniagaan antarabangsa.

Bersempena kunjungan itu, Tuanku Syed Faizuddin dibawa melawat bangunan rektorat yang menempatkan muzium universiti dengan koleksi yang menarik, perpustakaan, kompleks hal ehwal pelajar, pusat keselamatan dengan peralatan serba canggih dan juga kompleks sukan yang menyumbangkan 17 atlet dalam kalangan pelajar mereka bertanding di Sukan Olimpik Rio De Jeneiro lalu. - Utusan Online