Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Mohd. Fo'ad Sakdan dan Rektor Khazar University, Dr. Hassan Niknafs menandatangani MoU itu bagi pihak universiti masing-masing.

Yang turut hadir Timbalan Rektor universiti yang diwujudkan pada 1991 itu, Prof. Mahammad Nuriyev dan Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai delegasi program Jelajah Ilmu Unimap ke Azerbaijan itu sejak semalam.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap dalam titah baginda menyatakan, Unimap akan memastikan kesemua program yang bersifat pelbagai disiplin diberi pekenan kepada elemen-elemen yang mendasari Industri 4.0.

Titah baginda, bagi mencapai matlamat berkenaan, Unimap sentiasa memastikan keseluruhan peralatan dan kemudahan makmal universiti itu sentiasa ditambah baik bagi menentukan matlamat kumpulan mencapai sasaran 100 peratus.

"Dalam aspek penyelidikan translasi pula, usaha pengkomersialan 14 produk penyelidikan Unimap telah dimulakan.

"Insya-Allah senarai itu akan bertambah dari semasa ke semasa. Usaha pengkomersilan yang berjaya akan membantu menjana pendapatan, merakyatkan produk penyelidikan dan merapatkan lagi hubungan Unimap dengan masyarakat," titah baginda.

Raja Muda Perlis turut menyatakan, bagi menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta agar kurikulum berdaya saing dan memenuhi keperluan industri dan negara, beberapa program yang kurang popular akan dijenamakan semula di Unimap, dijumudkan atau diserapkan ke program sedia ada. - UTUSAN ONLINE