Ibrahim Ali
Ibrahim Ali

Beliau juga mempersoalkan adakah Annuar telah merujuk perkara tersebut kepada ahli Majlis Mara dan adakah ia telah mendapat kelulusan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“UniKL adalah milik Mara dan apa jua keputusan dan dasar-dasarnya mesti diputuskan oleh Mara dan menteri yang bertanggungjawab walaupun ia beroperasi sebagai swasta. Malah dana dan bangunannya juga adalah milik Mara,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Annuar hari ini menyatakan UniKL adalah universiti swasta yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menerima permohonan pemegang sijil UEC.

Tambah Ibrahim, beliau tidak boleh menerima kenyataan Annuar dan melahirkan rasa kesal sekiranya hasrat itu diteruskan kerana ia boleh menghilangkan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO.

“Jika ia diteruskan tiada beza dengan apa yang dituntut oleh DAP, sebelum ini kita serang DAP tetapi kenapa kini ingin melaksanakan apa yang dituntut.

“Jangan hanya lihat dari sudut politik, kita perlu kembali semula ke prinsip utama iaitu kedaulatan, jangan hanya mengukur pada wang dan ekonomi,” katanya.