Membangkitkan masalah itu pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Menangani Pergerakan Besar-besaran Pelarian dan Migran di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-71, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, isu itu yang setakat ini bertahun-tahun gagal diselesaikan telah menimbulkan kesan buruk kepada Malaysia.

Kata beliau, sehingga 31 Julai lalu, Malaysia masih menempatkan 151,596 pelarian yang terdiri daripada pencari suaka dan pela­rian dari 54 negara walaupun istilah ‘pelarian’ tidak ditakrifkan di bawah undang-undang domestik negara.

Dalam ucapan ringkas dan padat itu, Ahmad Zahid turut me­nimbulkan isu ketulenan kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR yang sepatutnya dilengkapi ciri-ciri keselamatan tambahan.

“UNHCR dan negara-negara yang menandatangani Konvensyen 1951 harus memberi perhatian serius dan segera bertindak menempatkan pelarian ke negara-negara ketiga yang telah menimbulkan masalah ekonomi, sosial, politik dan keselamatan kepada Malaysia.

“Mengenai ketulenan kad pelarian UNHCR, saya cadangkan penubuhan Pasukan Petugas Bersama (JTF) antara Malaysia dan UNHCR untuk urusan pendaf­taran dan pengeluaran kad UNHCR yang dilengkapi ciri-ciri ke­selamatan. Bagaimanapun, status penentuan pelarian adalah atas budi bicara pihak UNHCR,” kata beliau.

Warga Myanmar adalah jumlah pelarian dan pencari suaka politik teramai di Malaysia.

UNHCR menganggarkan kira-kira 141,570 daripada keseluruhan pelarian dan pencari suaka politik yang ditempatkan di Malaysia adalah warga Myanmar.

Mereka termasuk kira-kira 49,800 etnik Chin, 45,170 Rohingya, 12,340 Muslim, 7,320 Rakhine dan Arakan serta lain-lain etnik.

Yang selebihnya seramai 11,000 terdiri daripada pelarian dan pencari suaka politik daripada Sri Lanka (3,970), Pakistan (1,200), Somalia (1,100), Syria (960), Iraq (850), Iran (550), Palestin (430) dan lain-lain.

Sebelum ini, Jabatan Imigre­sen turut membangkitkan kesukaran untuk membezakan antara kad UNHCR palsu dan tulen.

Dalam mesyuarat yang di­pengerusikan Presiden UNGA yang baharu, Peter Thomson dan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan komitmen Malaysia dalam menangani konflik penghijrahan pelarian akibat peperangan, bencana alam, pergolakan politik dan konflik bersenjata.

“Seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Malaysia semasa sesi ke-70 UNGA tahun lalu bahawa Malaysia akan menerima 3,000 pendatang Syria dalam tempoh tiga tahun kerana konflik di Syria dan Iraq, saya berbesar hati untuk berkongsi pada Sidang Kemuncak yang mulia ini bahawa kami telah menerima 79 pendatang Syria dalam dua kumpulan pada Mei 2016.

“Dan kami berharap untuk menerima satu lagi kumpulan 421 pendatang Syria menjelang akhir tahun. Sebelum ini, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada 340 migran dari Bosnia dan Herzegovina (1997-2003) melalui komitmen kemanusiaan yang sama. Ini mencerminkan komitmen berte­rusan Malaysia terhadap isu yang sentiasa berubah-ubah ini,” kata beliau.–Utusan