Gadis Panca-NR yang mendapat undian tertinggi akan membawa pulang trofi Anugerah Khas Utusan Online-Finalis Paling Po­pular pada majlis kemuncak yang bakal berlangsung di Dewan Besar Utusan, Chan Sow Lin di sini.

Undian boleh dilakukan de­ngan mengunjungi laman khas Undian Gadis Panca-NR 2017 di laman web www.utusan.com.my.

Bagaimanapun, setiap pelayar hanya dibenarkan memilih se­orang gadis pilihan mereka dan proses undian akan berakhir tepat pukul 12 tengah malam, Khamis 11 Januari 2018.

Pengarang Pancaindera yang juga Pengarah Projek, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, anugerah ini bertujuan memberi peluang kepada warga internet menyemarakkan lagi pertandingan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya ini.

“Utusan Online mewujudkan satu Anugerah Khas sempena pertandingan akhir ini bagi memberi peluang kepada semua pihak membuat undian bagi menentukan gadis paling popular dalam kalangan 12 peserta akhir ini.

“Kita mahu setiap pelayar online popular itu turut diberi peluang mengambil bahagian bagi mengundi peserta kesukaan mereka,” katanya.

Acara kemuncak Pencarian Ga­dis Panca-NR 2017 akan dikendalikan oleh pelakon Fahrin Ahmad serta diadili oleh Datuk A. Aida, Rita Rudaini, Jasmin Hamid dan Hefny Sahad.

Pencarian Gadis Panca-NR 2017 dianjurkan oleh akhbar Mingguan Malaysia dengan kerjasama produk kesihatan popular, NR sebagai penaja utama. Antara rakan strategik pula adalah A. Aida Production, Aspire Travel dan Epie Temerloh & Team.

“Ini adalah pertandingan pencarian bakat yang menyediakan hadiah cukup lumayan kepada pemenang dan tidak hairan pihak Pancaindera menerima hampir 3,000 permohonan awal,” kata Tengku Khalidah lagi.

Juara Gadis Panca-NR 2017 akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta tiket pe­nerbangan pergi balik ke London dan kontrak lakonan selama dua tahun.