Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau sedang berbincang dengan kementerian berkaitan untuk meneliti secara terperinci peraturan itu, selain akan turut mendapatkan maklum balas daripada pihak industri.

Beliau bagaimanapun berkata, tempoh sekurang-kurangya tiga tahun akan diberikan kepada pemain industri sebelum peraturan mewajibkan pemaju menggunakan IBS bagi membangunkan projek perumahan, kilang dan ko­mersial itu dikuatkuasakan.

‘‘Saya kira sudah masanya untuk kerajaan mewujudkan peraturan yang mewajibkan IBS.

‘‘Namun, banyak perkara perlu diambil kira termasuklah jumlah permintaan dan bilangan kilang IBS yang perlu ada di setiap negeri.

‘‘Kita akan beri masa kepada pemain industri sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum menguatkuasakan peraturan ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Latihan Terowong (TTA) MMC Gamuda di Kota Kemuning di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberi jaminan kerajaan akan memastikan pihak industri telah bersedia dan kilang IBS telah berada di merata tempat di negara ini sebelum mewajibkan IBS.

‘‘Industri hartanah perlu bergerak ke hadapan dan IBS ini adalah baik untuk negara terutamanya dalam mengurangkan pekerja asing.

‘‘Kita sudah lama tunggu sistem ini digunakan secara meluas di negara ini dan pihak pemaju pun dah berjanji untuk menggunakannya tetapi sehingga kini masih tidak berlaku,’’ ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang TTA MMC Gamuda, Abdul Rahman menggesa syarikat lain mencontohi Gamuda Berhad dalam menarik minat golongan belia tempatan bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar dan ber­bahaya).

Katanya, TTA MMC Gamuda dapat melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan rakyat tempatan dan seterusnya membantu membangunkan anak bangsa serta negara.

‘‘Gamuda menyediakan persekitaran tempat kerja dan tempat tinggal yang baik selain menawarkan elaun serta gaji yang menarik iaitu sehingga RM3,000 sebulan, ini yang menarik penglibatan belia tempatan.

‘‘Banyak syarikat lain cuba tarik minat golongan belia dalam industri ini tetapi tidak sediakan itu semua,’’ jelasnya.