Anwar berkata, undang-undang berkenaan mesti dipinda dalam memastikan wujud keadilan.

“Ini bukan hanya kuno, ia undang-undang penjajah Bri­tish yang diperkenalkan di India dan diulang sama di Malaysia. Ia benar-benar tidak adil kerana seseorang boleh dituduh dan tanpa bukti yang betul seperti kes saya.

“Undang-undang mesti dipinda untuk memastikan ada keadilan dalam prosesnya dan ini bukan soal orientasi seks. Ia mengenai apa yang dilakukan atau dipaparkan secara terbuka yang bertentangan dengan norma majoriti rakyat bukan hanya orang Islam tetapi juga Kristian, Hindu, pengikut Buddha di negara ini,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

Anwar berkata demikian dalam temubual bersama agensi berita, Al Jazeera yang akan di­siarkan menerusi program UpFront, esok.

Mengulas mengenai hukuman sebat terhadap dua pesalah yang didakwa menjalinkan hubungan sejenis di Terengganu baru-baru ini, Anwar menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak adil.

Hal demikian ini kerana jelasnya. hukuman syariah yang dicadangkan Pas itu berdasarkan tafsiran parti berkenaan dan harus ditolak.

“Saya fikir ini jelas tak adil. Walaupun mereka menggunakan syariah sebagai asas, kita tidak boleh pertahankan tindakan itu.

“Itu bukan hudud syariah, itu tafsiran mereka atas beberapa aspek,” katanya.