Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, seperti juga negara Barat yang telah melaksanakan undang-undang yang hampir sama selepas berlakunya sesuatu insiden keganasan, Turki berpendapat, undang-undang darurat berkenaan dilihat berjaya menahan serta mendakwa mereka yang menjadi dalang dan bersubahat dalam cubaan rampas kuasa tersebut.

“Undang-undang seperti undang-undang darurat di Turki pernah dan masih dilaksanakan di negara-negara yang berdepan kegiatan pengganas atau pernah menghadapi insiden keganasan, misalnya di Amerika Syarikat (AS) dan di Kesatuan Eropah (EU) khususnya Britain dan Perancis.

“Sehubungan itu, Turki yakin undang-undang darurat berkenaan akan mengukuhkan lagi kesatuan negara serta rakyat dalam mengatasi masalah keganasan. Cubaan rampas kuasa itu satu keganasan yang perlu dikecam oleh semua pihak termasuk Barat,” tegas beliau dalam satu perhimpunan sempena sambutan ulang tahun pertama rampasan kuasa bersenjata 15 Julai tersebut di sini semalam.

Rombongan media Malaysia yang turut menghadiri perhimpunan tersebut berada di sini atas jemputan pejabat Ketua Pengarah Akhbar dan Maklumat (DGPI), Pejabat Perdana Menteri Turki.

Pada 15 Julai tahun lalu, kumpulan yang dikenali sebagai sebagai Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto) pimpinan Fethullah Gulen, seorang ulama yang melarikan diri ke Amerika Syarikat, serta disokong oleh puak tentera bersenjata yang memberontak telah melancarkan rampasan kuasa.

Namun cubaan rampas kuasa yang hanya bertahan semalaman itu dipatahkan oleh rakyat Turki sendiri yang turun beramai-ramai ke jalan-jalan raya walaupun berdepan dengan sekatan kereta kebal dan serangan jet pejuang serta helikopter penggempur.

Menurut Erdogan, cubaan rampas kuasa 15 Julai itu telah mengukuhkan tekad kerajaan serta rakyat Turki untuk menguatkan nilai hak asasi manusia serta mempertahan lagi sistem demokrasi di negara ini.

Katanya, kewujudan dan penyusupan elemen keganasan serta anggota pengganas telah menyebabkan berlaku diskriminasi dan penindasan terhadap rakyat Turki yang berbilang etnik, budaya dan bahasa.

“Pembersihan elemen keganasan dan anggota pengganas dalam struktur dan institusi negara akan menjadikan Turki lebih bersatu padu sesuai dengan moto kita 'Satu Rakyat, Satu Bendera, Satu Negara, Satu Bangsa'.

“Pihak luar yang mempertikai undang-undang darurat di Turki walaupun tidak menyokong cubaan rampas kuasa 15 Julai, tetapi sebenarnya telah memihak kepada dalang dan mereka yang bersubahat dengan rampasan kuasa berkenaan.

“Ketahuilah bahawa cubaan rampas kuasa 15 Julai itu sebenarnya satu keganasan yang perlu dikecam oleh semua,” tegasnya yang menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin. – MINGGUAN