Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setakat ini cadangan dan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan isu tersebut telah dikumpulkan melalui tiga mesyuarat terdahulu dan draf untuk dibawa ke Kabinet sedang dalam proses untuk dilengkapkan.

“Antara yang akan dibentangkan di Kabinet termasuklah kementerian mana akta ini akan diletakkan, apa cadangan hukuman, entiti mana yang akan mengawal selia akta serta menentukan sama ada berita itu palsu atau tidak dan apa definisi berita palsu yang sebenar itu sendiri.

“Walau bagaimanapun, selagi Kabinet belum memutuskan apa-apa, semuanya masih dalam aspek embargo, tiada penentuan lagi. Selepas selesai dibentang di Kabinet nanti baru saya boleh beri maklumat lebih terperinci dalam aspek hukuman dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas berkaitan cadangan kepada undang-undang berita palsu di sini hari ini.

Azalina mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu bahawa kerajaan akan mengkaji satu undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu di negara ini. - UTUSAN ONLINE