Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan itu bertujuan menyera­gamkan sistem pengurusan air di setiap negeri.

“Ada negeri mengalami lebihan air hujan hingga menyebabkan banjir...ada pula negeri kekeringan air. Jadi melalui undang-undang baharu ini dapatlah kita membekalkan lebihan air di negeri-negeri yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Gala Media Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di sini, malam tadi.

Wan Junaidi berkata, undang-undang baharu itu akan membolehkan kerajaan pusat menyediakan sistem pengurusan air kepada setiap negeri dengan lebih konsisten.

“Pada masa sekarang, kerajaan pusat tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam sistem pe­ngurusan air negeri. Bagaimanapun, kami akan membuat kajian dan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai perkara ini,” katanya.

Pada majlis itu, Wan Junaidi turut menyampaikan Anugerah Khas Media kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diterima oleh Pengerusinya, Datuk Seri Azman Ujang sebagai mengiktiraf sumbangan liputan mengenai alam sekitar. – BERNAMA