NADZIM JOHAN

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, gesaan itu bertujuan bagi menggambarkan komitmen kementerian dalam melindungi pengguna di negara ini daripada mendapat bekalan sayur-sayuran import khususnya cili yang tidak terjamin selamat untuk digunakan.

“Pihak kami mengikuti per­kembangan isu ini, hasil saringan awal ke atas cili import berkenaan mendapati ada simptom penyakit dan MRL pula ada yang negatif serta pada tahap pertengahan, namun dikatakan keputusan tidak muktamad sebab itu kita tunggu dua minggu untuk keputusan tepat seperti dimaklumkan pihak kementerian tempoh hari dalam sidang akhbar di Pelabuhan Klang.

“Apapun kita berharap pihak kementerian dapat memaklumkan apa keputusannya dan jika gagal, kita mahu pihak kementerian dan kerajaan mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap pihak yang bertanggungjawab membawa masuk hasil pertanian berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 22 Ogos lalu, Laporan Khas Utusan Malaysia menyiarkan Malaysia menjadi pusat lambakan hasil pertanian eksport negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain.

Susulan laporan itu, kementerian menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas sembilan kontena bagi meneliti kualiti terma­suk MRL cili import yang dibawa masuk dari Vietnam di Pelabuhan Klang pada 26 Ogos lalu.

Saringan awal mendapati beberapa sampel cili itu memiliki simptom penyakit antraknos selain ujian MRL awal adalah negatif dan juga berapa pada tahap pertengahan, namun keputusan itu tidak konklusif dan pihak kementerian memaklumkan ke­pu­tusan tepat diperoleh hasil ujian makmal iaitu dalam tempoh dua minggu.

Mengulas lanjut, Nadzim mem­beritahu, kementerian perlu ber­tindak seperti negara Singa­pura dengan memastikan semua sayur-sayuran import yang dibawa masuk bebas daripada sebarang penyakit dan bahan kimia berbahaya.

Menurutnya, penguatkuasaan daripada peringkat awal perlu dilakukan setiap kali sayuran import itu dibawa masuk dengan membuka satu pusat yang lengkap untuk menguji kandungan bahan kimia dan melakukan ujian MRL di pelabuhan atau pintu masuk lain di negara ini.

“Wujudkan satu fasiliti khusus yang mampu menguji MRL dalam tempoh singkat dan bukannya seperti sistem sedia ada yang memakan masa lama sedangkan kontena yang membawa sayur-sayuran sudah dilepaskan ke pasaran negara sehinggakan hasil pertanian itu sudah dibeli dan dimakan baru keputusan MRL pihak berkaitan selesai,” katanya.

Tegasnya lagi, pihak kementerian juga perlu mengambil langkah drastik bagi melindungi industri pertanian negara daripada dimonopoli oleh kuasa asing.

“Perkara ini turut ditekankan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 baru-baru ini walaupun merujuk kepada industri automotif negara.

“Jangan terkekang dengan soal dasar perdagangan atau sebagainya untuk mengawal hasil pertanian berbahaya daripada memasuki pasaran negara. Ini soal kuasa dan sistem yang boleh diputuskan kerajaan. Mengapa Singapura boleh melakukannya?.

“Apa yang penting jangan mencabuli hak pengguna di Malaysia sehinggakan boleh mendatangkan mudarat gara-gara kita tunduk dengan kuasa luar,” ujarnya.