Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, universiti itu juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan apabila mengambil keputusan meningkatkan bilangan pengambilan ke matrikulasi daripada 25,000 menjadi 40,000 tempat pada tahun ini.

Katanya, pendirian tegas mengenai kuota itu merupakan sesuatu yang selari mengikut Perlembagaan Persekutuan selain selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara inklusif serta saksama di mana semua rakyat berpeluang meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi.

“Kenyataan yang dibuat oleh Maszlee begitu jelas dan tidak perlu dipolitikkan.

“Kerajaan melaksanakan kuota tersebut adalah mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan ia merupakan usaha bagi membantu golongan bumiputera agar mereka terus mendapat peluang ke universiti terutamanya untuk mempelajari bidang sains dan teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Maszlee berkata adalah sesuatu tidak adil sekiranya kuota matrikulasi bagi bukan bumiputera dilonggarkan tetapi pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Katanya, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dari segi memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi marah pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin dan penyokong DAP, MCA serta Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang mahu menteri itu segera memohon maaf.

Mengulas lanjut, Noor Azuan berkata, kemasukan pelajar ke universiti di peringkat diploma dan sarjana muda adalah berdasarkan merit pelajar.

Oleh itu katanya, kuota kemasukan pelajar ke matrikulasi bukan isu utama kerana persaingan terbuka berteraskan meritokrasi sama ada dari lepasan matrikulasi atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lain-lain saluran setaraf merupakan amalan yang telah lama dipraktikkan tanpa menafikan peluang mana-mana pelajar untuk melanjutkan pelajaran.

“Kami menyeru agar cubaan sesetengah pihak yang cuba merangsang sentimen kebencian antara kaum perlu diberhentikan segera.

“Sekiranya perkara ini tidak dikawal dan dibendung dengan segera, ini akan menggugat keharmonian dan perpaduan serta menghakis toleransi antara kaum di negara ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE