Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan UMS termasuk usaha memperkasa daya saing dan kebolehpasaran pelajar menerusi penyediaan ruang siswa niaga sebagai medan mengasah bakat serta menimba pengalaman berniaga.

“Pelajar tidak dihalang untuk membuat kerja sambilan dalam kampus asalkan pengajian mereka tidak terabai, ini termasuklah bekerja sebagai pembantu-pembantu niaga dalam premis-premis niaga yang terdapat dalam UMS.

“Pendekatan yang dikenali sebagai ‘Learn and Earn’ dilaksanakan sejak 2017 dilihat memberi nilai tambah daripada sudut kemahiran insaniah keusahawanan bahkan membantu mereka dalam aspek meringankan beban kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, menyahut usaha tersebut, UMS akan menyediakan sebuah ‘Mini Mart’ dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada alumni UMS untuk menguruskannya.

“Mini-Mart ini akan dibina di bangunan Hal Ehwal Pelajar, UMS mampu membuka peluang kepada pelajar untuk dijadikan sebahagian daripada tenaga pekerja sambilan atau mereka juga boleh menjalani latihan industri sesuai dengan bidang mereka,’ katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, pendekatan yang diambil UMS untuk memperhebatkan kebolehpasaran graduan dengan menubuhkan Pusat Kerjaya UMS yang bakal dibuka pada Ogos depan.

“Antara aktiviti yang dijalankan oleh pusat itu termasuklah menganjurkan ekspo kerjaya bagi membolehkan graduan sedang mencari pekerjaan memohon kekosongan jawatan-jawatan di syarikat yang mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan.

"Terbaru, pihak berkuasa pengurusan universiti juga telah meluluskan penubuhan Majlis Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan yang akan menjadi penasihat kepada Pusat Kerjaya dan Alumni UMS dalam hal-hal yang boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE