Program Latihan Kemahiran Industri Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) itu bagi menyedia dan meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL serta industri kereta api berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan UMP untuk melaksanakan kursus tersebut bersesuaian dengan kedudukan universiti berkenaan yang terletak berhampiran projek ECRL.

‘‘Projek besar-besaran ini akan dilancarkan September ini dan memerlukan sokongan warga kerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi kereta api.

‘‘UMP akan memulakan proses ini dan pengambilan pertama seramai 300 penuntut akan dibuat pada September ini untuk kursus teknologi kereta api bagi tempoh enam bulan,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Masjid UMP dan Raikan Syawal bersama komuniti serta warga universiti berkenaan di UMP Kampus Pekan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UMP, Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.

Pada November tahun lalu, Malaysia dan China dilaporkan bersetuju menandatangani rangka kerja pembiayaan, kejuruteraan dan perolehan untuk kontrak pembinaan ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion.

Pembinaan ECRL akan menyediakan landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Gombak, Selangor; Gombak ke Kuantan, Pahang seterusnya hingga ke Tumpat, Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

Najib berkata, bagi mendukung konsep universiti teknikal, beliau meletakkan satu lagi petunjuk prestasi utama (KPI) kepada UMP iaitu untuk melaksanakan bidang teknologi kereta api selain automotif.

‘‘Kita tidak mahu UMP menjadi universiti yang membuka fakulti bukan teknikal, saya mahu universiti ini kekal sebagai sebuah universiti teknikal yang pencapaiannya kita dapat lihat semakin hari sema­kin baik,’’ ujar beliau.

Sementara itu, Daing Nasir dalam ucapannya berkata, pembinaan kompleks masjid bernilai RM20 juta itu bakal menjadi mercu tanda unik bagi UMP dan Bandar Diraja Pekan dengan keistimewaan reka bentuk serta seni binanya.

Katanya, kompleks masjid itu juga akan menjadi model transformasi ummah, pencerahan minda dan pembangunan sosial secara progresif dan dinamik untuk dimanfaatkan serta diimarahkan secara optimum oleh warga UMP dan masyarakat setempat.

‘‘Tempoh pembinaan masjid ini dijadualkan selama 95 minggu dan dijangka siap pada 6 Mac 2019 sekali gus menggantikan masjid sementara UMP Pekan yang kini beroperasi di aras dua bangunan aktiviti pelajar.

‘‘Insya-Allah dengan sempurnanya projek ini kelak, kompleks masjid ini bakal menjadi hab pembangunan kerohanian dan insaniah komprehensif,’’ katanya.